Saturday, November 22, 2014

SS

"Have you ever felt betrayed by someone?"

"Yep. 2 tahun lepas."

"Hmm..your ex?"

"Yeah. He ran away with Hana."

"Hana?"

"Yep. Hana. That Chinese teacher. Not you la Hana!"

Hana hanya gelak kecil.

"So jauh lagi ke trek ni? Ada pacat tak agak-agak?"

"Nope. Tak jauh dah. Dalam setengah jam lagi kalau kita cepat. And yes ada pacat. Lots of." Hana cuba menakut-nakutkan Leen.

"I'm not afraid of pacat but I'm just geli."

"Leen, that's just the same."

"Yes I know. Jom cepat sikit Hana. Lambat la you ni."

"Eh dia yang lambat jalan..."

Setelah merentasi denai yang sedikit mencanak ke puncak, Hana dan Leen tiba di destinasi yang dituju pagi itu. Tiada orang. Puncak masih kosong dan sunyi sepi dari manusia. Hanya angin dingin pagi yang sepoi-sepoi bahasa yang bersapa dengan mereka. Leen dan Hana masing-masing hilang dalam keheningan pagi yang dihiasi matahari terbit. Mereka tidak henti-henti mengambil gambar di puncak bukit kecil di pinggir kota itu.

"Hana, what if he wants to come back to me?"

"He told you that?"

"No. Tiba-tiba terfikir."

"I don't know. You have to decide. But I think you have moved on?"

"Easier said than done, Hana."

"I know. I just wonder. It has been a while and dia pun dah dengan cikgu Cina tu."

Leen memandang ke ufuk sambil berpeluk tubuh. Pandangannya jauh. Di ufuk masih berbalam-balam biru kemerahan.

"Hmm...I shouldn't think like that kan, Hana?"

"You should not."

"Kan? Thanks Hana. So what have you got?"

"Not much. Tapi I like this one shot. Matahari berselindung di sebalik awan. Kaler dia cantik. I really like this one."

"Oh my..Yang ni cantik. Nanti transfer. I nak edit."

"No way. Nanti you nak letak kat Insta you kan? No way. Guna gambar sendiri okay." Hana acah-acah garang.

Leen hanya ketawa. Niatnya telah awal-awal lagi dihidu Hana.

"Hana, what say you if we get together?" Satu soalan aneh meluncur dari mulut Leen.

"What?" Hana bereaksi seakan-akan tidak percaya dengan apa yang disoal. Dia cuba menahan ketawa.

"What if...we...get...together? What do you say?" Leen memandang tepat ke mata Hana, seraya menggenggam kedua-dua tangan Hana.

Hana diam dan kaku. Riak mukanya berubah kemerah-merahan. Dia cuba menahan dari ketawa.

"Nice joke, Leen."

"What if I'm not joking? What if I'm dead serious?" Leen merapati Hana. Dadanya turun naik mengikut rentak nafasnya yang semakin melaju.

Hana menjadi sedikit kalut. Matanya meliar mencari jawapan untuk diluahkan. Dia menolak Leen dengan lembut untuk menjarakkan diri. Dia tidak selesa apabila ditanya sedemikian, lagi-lagi dari kawan baiknya sendiri. Perasaan hairan dan terkejut menguasai Hana.

"You are crazy."

"I'm not. Hana, look at me."

"You are crazy..."

"I'm not."

"Ko bergurau kan Leen?"

"No I'm not."

"So why tiba-tiba macam ni?"

"It's not tiba-tiba Hana. I've liked you since we met. And he left me because I told him I like you!"

Hana tergamam mendengar pengakuan Leen. Dia tidak menyangka kawan baiknya sebegini.

"This is not right Leen. You know kan this is so wrong?"

"I know. But I really like you Hana." Tangan Hana masih digenggam erat. Hana tersepit, semakin tidak selesa dengan situasi di luar jangkaan itu.

"Stop it Leen. You have to stop this."

"How? Can you tell me how Hana? Can you?" Ada sedikit getar pada suara Leen. Kelihatan matanya mula bergenang.

"I'm sorry Leen. I should have been able to tell the difference by the way you have treated me but I had no idea at all. This is totally unexpected, Leen. I'm sorry."

Hana melepaskan genggaman tangannya dari Leen dan merapati kawan baiknya itu. Leen terkejut dengan reaksi Hana, sedikit terkebelakang, lalu dia dirangkul erat oleh Hana yang mula berlinangan air mata. Hana membisikkan sesuatu ke telinga Leen. Leen mengangguk perlahan dan meleraikan dakapan sambil kelihatan sedikit teresak-esak. Hana tersenyum, memandang Leen dengan penuh harapan. Dia mengesat satu-persatu air mata di pipi Leen. Leen tersenyum tawar.

"Promise me, Leen?"

"Promise."




Monday, November 17, 2014

Sekayu



Aku berjalan sedikit laju. Hampir kepada berlari-lari anak di tengah-tengah hutan hujan tropika yang baru aku tiba 20 minit yang lalu. Dua orang adik aku – lelaki dan perempuan – aku tinggalkan bersama kawan-kawan mereka yang teruja dan leka bermain air di sekitar kawasan air terjun. Langkah aku percepatkan kerana aku perlu menjelajah ke tingkat tinggi air terjun yang tidak aku ketahui sejauh manakah lagi harus aku pergi. Jujurnya aku tidak pernah berjalan berseorangan di dalam hutan sebegini tebal dan ini menyebabkan sedikit perasaan bimbang muncul, namun perasaan teruja terlebih dahulu membaluti segala rasa tidak elok yang singgah. Berbekalkan survival knife aku menjadi sedikit berani jikalau apa-apa kejadian tidak diingini berlaku. 

10 minit berlari-lari anak menyusuri denai yang semakin menghilang jejaknya di sebalik rimbunan dedaun kering berserakan dan akar-akar pokok telah berjaya memecahkan peluh pertama. Aku tidaklah berasa penat malah bertenaga dan semakin bersemangat untuk menjejaki punca aliran yang jauh menghulu. Mereka yang bermandi-manda semakin jauh aku tinggalkan di bawah, dan aku berseorangan menikmati kesuraman dan kegelapan hutan kanopi di Hulu Terengganu ini. Bunyi unggas berkicauan tidak berhenti sejak aku memulakan langkah dan ini bagiku adalah satu petanda yang baik – tiada bahaya menanti. 

Denai yang aku turuti semakin menyembunyikan diri di bawah serakan daun kering. Batu-batu pelbagai saiz di sepanjang denai semakin berlumut, dan akar-akar banir semakin berani menjalar di tengah laluan. Di hadapan, hutan tebal yang entah apa isi kandungannya menanti. Gelap, pekat, dan hanya sesekali rimbunan daun melambai-lambai di kejauhan. 

Aku meneruskan perjalanan bertemankan bunyi unggas dan sesekali diselit bunyi lotong bersahutan. Tidak berbekalkan kompas, hanya deruan aliran air yang menjadi pedoman di tengah belantara ini. Menyusuri aliran air adalah cara yang paling selamat. Namun sesekali aku menggenggam kemas pisau dan mataku tertancap tepat di pertengahan jalan, mencari-cari ancaman dan sekadar berhati-hati. Deruan air semakin kuat dan aku memilih untuk berhenti melihat aliran air – deras, berpusar, jernih, gelap, memutih – berubah mengikut kedalaman, kelajuan dan ketinggian jatuhan aliran air. Tiada apa yang aneh. Semuanya kelihatan normal, indah dan unik.

Sudah hampir sejam aku berjalan. Dan sambil aku berkira-kira sama ada untuk meneruskan perjalanan atau berpatah balik, aku terdengar bunyi seperti ada orang mandi-manda. Aku memerhatikan sekeliling. Tiada apa-apa. Tiada kelibat manusia dan bunyi tersebut telah reda. Mungkin aku berimaginasi. Atau mungkin juga semua itu wujud – puteri bunian barangkali. Ah, tahyul! 

Aku berhati-hati turun ke gigi air untuk menghilangkan dahaga. Dan tidak semena-mena aku terlihat kelibat manusia sedang duduk bersila di atas batu besar di seberang aliran air tidak jauh dari situ. Seorang lelaki yang menjangkaui separuh abad usianya sambil bersila dan mata terpejam rapat, memakai serba putih seperti jubah dan berserban rapi. Aku sedikit terkedu. Mengapakah seorang lelaki alim berada di sini? Di tengah-tengah hutan rimba tidak berpenghuni? Bertapa? Mencari ilham? Aku tidak pasti. Yang aku pasti, dia membuka mata lalu melihat tepat ke arahku seakan menyedari kehadiran aku.  Sedikit kaget, aku hanya menyembunyikan perasaan aneh dalam diri dengan menghulurkan senyuman dan mengangkat tangan tanda menyapa. Lelaki tersebut tidak memberikan respons, hanya memerhatikan aku dari seberang sungai. Pandangannya tepat dan tajam. Mulutnya tertutup rapat. Matanya masih tertancap kemas kepadaku. Ah, mungkin kehadiran aku di sini mengganggu konsenstrasinya. Aku harus beredar secepat mungkin.

Aku mengambil keputusan meninggalkan tempat itu secepat mungkin. Aku perhatikan jam, tapi jam digital aku tidak menunjukkan sebarang bacaan. Tak mungkin rosak? Aku baru sahaja membelinya dua minggu lepas. Ini sangat aneh. Tidak menghiraukan sangat keadaan jam tangan aku itu, aku mempercepatkan langkah berlari-lari anak menyusuri denai hutan yang aku lalui tadi. Namun semakin lama aku menyusuri denai tersebut, aku perasan bahawa aku semakin menjauh dari aliran air. Dan keadaan di dalam hutan menjadi semakin sunyi – tiada nyanyian unggas dan sahutan lotong lagi. 

Sesat

Itu sahaja yang bermain dalam benakku. Tapi bagaimana aku boleh sesat sedangkan aku menyusuri denai yang sama sebagaimana yang aku lalui tadi? Aneh.  Dan secara tiba-tiba aku mengesan pergerakan di sebalik keanehan itu. Aku menggenggam kemas pisau sebaik sahaja aku ternampak daun-daun pokok renek melambai rancak seolah-olah dilanggar atau dirempuh sesuatu yang bergerak laju. Mataku meliar memerhatikan arah pergerakan daun-daun yang dirempuh itu. Aku mendiamkan diri, kaku dan gementar. Aku bersedia untuk memecut laju jikalau ada apa-apa yang tidak diingini keluar menayangkan diri di tengah-tengah belantara itu. 

Pergerakan daun-daun pokok renek mati begitu sahaja seolah-olah ia telah menyelinap masuk jauh ke dalam kegelapan hutan. Entah binatang apa aku pun tidak tahu dan aku tidak pula mahu mengetahuinya. Tetapi aku masih belum lega, aku masih belum selamat. Aku memecut sederas mungkin meredah pepohon renek dan mencari aliran air untuk kembali ke tempat aku bermula. Aku tidak boleh sesat. Sesat itu adalah satu malapetaka di dalam kawasan asing ini. Aku harus bergerak pantas untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini lagi. Aku tidak sabar untuk menceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi. Pandangan tepat orang tua alim tadi masih bermain di kepala. Sesekali perasaan seram datang mencuit namun itu semua hanya membuatkan langkahku semakin pantas. 

Dengan keizinanNya, aku berjaya menjejaki aliran air dan denai yang aku lalui tadi walaupun masih hairan. Sebaik sahaja sampai di pertengahan tempat dari aku bermula tadi, aku berasa sedikit selamat dan memperlahankan rentak larian. Namun aku silap. Aku terdengar bunyi derapan tapak kaki dari belakangku. Aku tidak sempat mengelak dan bertembung dengan benda tersebut. Aku jatuh berguling di atas akar banir dan benda tersebut terjatuh di tepi batuan besar. Matanya bulat memerhatikan aku. Aku pun sama membulatkan mata tanda tidak percaya dengan apa yang berlaku. Dalam hati aku menyumpah seranah. 

“Sori, saya tak sengaja. Tapi kenapa awak berhenti kat tengah-tengah trail ni?”

Aku mengesat-ngesat betis yang berlumuran tanah. Ada calar dan sedikit luka kecil hasil pertembungan tulang keting dan akar pokok. 

“Awak yang laju sangat tak nampak orang.” Aku membalas acuh tak acuh pertanyaannya dengan perasaan hairan bercampur geram. Tulang ketingku masih sakit. Aku cuba bangun dengan sedaya-upaya dan terhincut-hincut.

“Sori la. Ok ke? Mari saya tengok. Macam teruk je? Boleh berjalan ke ni?”

“Ok je. Takde apa-apa ni. Sorang je ke?”

Hairan. Siapa pula dia ni? Tengah-tengah hutan berseorangan? Anak pakcik alim tadi? Tak mungkin.

“Tak. Sebenarnya saya bertiga tadi on the way turun dari atas. Lepas tu saya tak tahu macam mana boleh terpisah. Saya try call kawan-kawan tapi takde line dalam ni. Saya menjerit panggil kawan-kawan tapi takde jawapan.  Saya ikut aliran sungai sampai terjumpa batu besar dan seorang pakcik atas batu tu.”

“Hah? Pakcik? Pakai serba putih berserban tu kan?”

“Tak. Pakaian dia macam pahlawan Melayu lama. Ada tanjak atas kepala, serba kuning dan ada keris diselit kat pinggang. Saya tanya dia ada sama ada nampak kawan saya tak, dia tak balas. Just diam. Sangat pelik.”

OK. Ini benar-benar aneh, pelik, menghairankan dan misteri. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Ini adalah sesuatu yang biasa kita dengar dalam kisah-kisah misteri orang Melayu. Dan sekarang ia sedang berlaku kepada aku dan dia. Ini bukan petanda yang baik. Kami berdua sekarang di tengah-tengah hutan rimba yang tebal, jauh dari manusia, jauh dari keselamatan. Aku dan dia harus segera turun dan keluar dari hutan ini. 

“Jom la kita turun.”

“Jom.”

Suasana hutan kembali rancak dan meriah dengan nyanyian pelbagai penghuninya, seolah-olah mentertawakan kami di tengah-tengah keanehan rimba tersebut.

**********

Di bawah, dua orang kawannya kelihatan terkejut melihat kehadiran kami berdua. 

“Kau pergi mana? Kitorang dah takut tadi kau sesat. Mana kau pergi?”

“Korang tinggalkan aku ke?”

“Ya Allah, mana ada kitorang tinggalkan kau. Kau yang cakap nak turun dulu tadi?”

“Eh mana ada! Aku ikut belakang korang je tadi lepas tu korang dah hilang.”

Aku hanya mendengar perbualan mereka. Sah, mereka dah terkena.  Sah juga aku pun terkena sekali. Adik-adik aku dan kawan-kawan mereka berhenti dari mandi-manda dan datang menghampiri, tertarik dengan apa yang dibualkan. 

“Kenapa?”

“Takde apa-apa. Sorang ni sesat tadi, tertinggal kat belakang. Abang terjumpa dan kitorang turun sama-sama. Nasib baik takde apa-apa. Jom la kemas-kemas balik. ”

“Jom.”

Aku mengerling ke arah jam tangan. Pukul 3:15. Jam aku masih okay.