Friday, September 30, 2011

Perhentian Malam

Di waktu silam
di tengah kepekatan malam
angin berhembus meniup dedebu jalanan
daun-daun emas gugur berserakan
rantingnya patah jatuh bersilang
bunga-bunga semakin layu membisu
dan kupu-kupu dinihari terbang pulang
mengikut arus noda cinta yang fana.

Halaman rindu tidak dihuni
tiada lagi harum, tiada lagi menusuk kalbu
mawar penyeri kian tandus
tidak seperti dahulu
gubahan asmara dan godaan perawan
kian kaku, membeku
hanya guntingan memori silam
menjadi pengubat rasa
duka lara, tangis sendu.

Kupu-kupu dinihari terus hanyut
dalam noda malam hari
di sebalik genangan air mata syahdu
ditemani pelupuk hati
yang merasa rindu.

Thursday, September 29, 2011

A Sneak Peek

Meja yang bersepah, as usual.

My aluminium girlfriend...Again...

Terasa macam professional cyclist pulak, letak basikal dalam bilik. Hehehe:p

Caltex


Saturday, September 10, 2011

Sepintas Lalu Di Aidilfitri Bersama Kenalan-Kenalan Lama

Seminggu telah berlalu. Tapi masih teringat, masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Hiruk-pikuk, gelak tawa, gurau senda dan cakap-cakap setiap teman, masih lagi bermain-main di fikiran. Alangkah bagusnya kalau kami dapat disatukan semula dalam satu suasana di mana tiada kekangan - kekangan masa terutamanya.

Raya Ketiga

Sehari sebelum saya beraya ke rumah kawan-kawan yang lain, saya terlebih dahulu singgah beraya di rumah teman rapat, Hadi, yang saya kenali lebih 9 tahun yang lalu, sewaktu saya dalam tingkatan 2. Singgah di rumahnya, sempat saya berjumpa dengan kedua ibu bapanya, yang juga mengenali kedua ibu bapa saya. Emak saya memanggil emak Hadi sebagai Kak Ja, manakala ayahnya dikenali sebagai Zali (Razali). Baru-baru ini saya mendapat tahu dari laman sosial Facebook bahawa ayah Hadi telah dimasukkan ke salah sebuah hospital swasta di Kuantan, dan menjalani satu pembedahan dan rawatan di sana. Jadi dikesempatan itu, saya mengambil peluang untuk bertanyakan khabar ayahnya dan ayahnya secara terperinci telah menjelaskan kepada saya akan masalah kesihatan yang dialaminya itu. Alhamdulillah, dia semakin beransur pulih. Selain itu, kedua ibu-bapa Hadi juga bercerita mengenai pengalaman mereka semasa berkunjung ke negara jiran kita, Indonesia baru-baru ini.

Kunjungan ke rumah Hadi pada Hari Raya Ketiga itu tidak lengkap jika tidak menjamah sebarang hidangan. Jadi, saya sebagai kenalan lama telah dijemput untuk makan di bahagian atas rumahnya - lebih privacy, lebih makanan juga - Hehe. Saya menjamah nasi minyak, sate ayam beberapa cucuk, dan sedikit lemang. Hadi memberikan respons bahawa saya banyak makan di rumahnya pada hari itu dan kemudiannya menceritakan perihal itu kepada ibu bapa saya di petang hari sewaktu saya membawanya ke rumah saya. Biasalah Hadi, Hari Raya kan, mestilah kena makan. Banyak sikit pun tak mengapa. Raya setahun sekali sahaja. Hehe.

Petang Hari Raya Ketiga diakhiri dengan Hadi berkunjung ke rumah saya, yang mana pada hari itu juga jiran sebelah rumah saya, Makcik Zie sekeluarga datang beraya ke rumah. Saya dan Hadi hanya menghabiskan masa menjamah makanan sambil bersembang tentang banyak perihal, merangkumi kehidupan sekarang di tempat orang, hal kerja, kenalan lama, gajet terbaru, dan tidak kurang juga dengan status semasa. Masih lagi saya ingat Hadi sempat membebel dan memberikan pandangan mengenai kenalan lama yang sudah beberapa ketika dia tidak berhubung. Ye Hadi, saya faham maksud kamu itu. Kawan susah senang, kawan dunia akhirat, kan?

Kemudiannya, saya dan Hadi mengambil peluang untuk bersiar-siar di sekitar Pantai Teluk Lipat. Saya hanya memandu terus menghala ke arah hujung Teluk Gadung, hujung pantai yang berhadapan dengan UiTM, yang juga menjadi tempat favourite saya untuk lepak di petang hari. Sebelum saya menghantarnya pulang, kami sempat berbincang mengenai rancangan untuk beraya di rumah kawan-kawan pada keesokan harinya.

Raya Keempat

Jam menunjukkan pukul 3.30 petang, dan saya telah berada di laman rumah Hadi, bersedia untuk menjemputnya. Cuaca pada hari tersebut beransur gelap, dengan awan kelabu pekat dan tebal berarak menghala ke arah kawasan pesisir pantai. Saya membuka but kereta dan terdapat dua kaki payung. Nasib baik ada payung, dapatlah juga kami bersedia kalau-kalau hujan lebat nanti. Saya datang mengambilnya dengan Waja pada hari itu, lantas mengundang persoalan Hadi. Sedangkan semalam saya hanya bersiar-siar bersama Viva. Sebenarnya, kereta manual Viva itu telah dipinjam oleh saudara saya untuk kegunaan sementara semasa dia pulang ke Dungun.

Rumah pertama yang kami kunjungi adalah rumah kenalan lama kami yang dikenali sebagai Apih (Hafeez). Dia merupakan graduan UiTM Shah Alam dalam jurusan sains fizik, dan sekarang sedang mengikuti pengajian Masters dalam bidang yang sama, sambil menjadi seorang tutor sambilan di situ. Sewaktu zaman sekolahnya, dia terkenal sebagai pakar matematik - matematik moden dan juga tambahan. Kerap juga dia menjadi tempat rujukan saya dan rakan-rakan yang lain di dalam dan di luar kelas. Di rumahnya pada hari itu, saya dan Hadi dihidangkan dengan mi goreng - pedas tapi sedap, di samping aneka kuih raya. Agak lama kami bersembang dan menghabiskan masa di situ. Hampir dua jam setengah. Kemudiannya, seorang lagi kenalan lama kami, Mat Duang (Ridhwan) datang beraya di rumah Apih. Mat Duan orangnya low-profile, tetapi disegani rakan-rakan sebagai seorang yang pakar dalam matematik juga. Dia baru sahaja tamat pengajian di UTeM, Durian Tunggal baru-baru ini. Hanya menjadi penganggur buat seketika waktu. Sewaktu di rumah Apih itu juga, saya berkesempatan bertemu dengan junior saya, Anuar, orang Padang Jambu Lorong 4 kalau saya tidak silap. Saya hampir tidak mengecamnya sewaktu mula-mula dia sampai di rumah Apih. Sudah lama saya tidak bersua dengannya. Anuar sekarang mengikuti pengajian kejuruteraan di Lyon, Perancis. Pada mulanya saya anggapkan bahawa Anuar itu kenalan baik Apih juga, namun sangkaan saya tidak begitu tepat. Dia ke rumah Apih untuk menjemput Syaheerah, adik perempuan Apih, yang juga junior saya. "Ada mainang nii..Ada mainang dua orang nii.." Balas Hadi kepada Apih sewaktu Apih mengatakan dia tidak tahu apa-apa disebalik hubungan antara adiknya dengan Anuar. Dan sudah tentulah Hadi berkata sebegitu sewaktu Anuar dan Syaheerah telah keluar berdua beraya ke rumah kawan mereka.

Lewat petang itu sekitar 6.30 petang, saya, Hadi, Apih dan Duang bergerak ke rumah Izaan yang letaknya di Kampung Binjai. Nasib kami baik. Izaan sekeluarga ada di rumahnya. Izaan juga seperti saya, hanya bercuti seminggu pada raya kali ini. Dia sekarang sedang mengikuti pembelajaran dalam bidang kejuruteraan mekatronik di University Of Sydney. Lagi dua tahun baru tamat pengajiannya itu. Kami berlima termasuk Izaan sempat bersolat Maghrib di rumahnya, berimamkan imam dari Sydney sendiri. Haha. Banyak juga yang kami sembang dan lawakkan di rumahnya itu, sama seperti di rumah Apih tadi. Di rumah Apih tadi, saya dan Hadi sempat mengimbas kembali memori sewaktu kami berdua di tingkatan 2 dan 3, yang mana petangnya selalu diisi dengan lepak-lepak di rumah Syafiq. Banyak jenaka dan cerita nakal yang kami keluarkan pada hari itu.

Kemudiannya, selepas maghrib, kami berlima ke rumah nenek Arsyad yang letaknya di Kampung Pulau Serai dengan dua buah kereta - saya dan Izaan. Arsyad sekarang sedang bekerja di USM, di tempat belajarnya sebagai seorang web designer. Hadi yang tadinya menumpang saya sekarang telah naik bersama Izaan, manakala Duang dan Apih masih lagi bersama dengan saya. Hadi dan Izaan sempat menghisap beberapa batang rokok sebelum kami bergerak melawat Arsyad. Bukan rokok sebarangan, tapi Davidoff dari Australia yang dibawa pulang Izaan sendiri. Pada mulanya, kami ragu-ragu dengan pelan jalan yang disebutkan Arsyad untuk ke rumah neneknya. Jalan Rajawali. Itulah trademarknya. Izaan memandu di hadapan, manakala saya hanya mengikutinya, sambil Hadi menghubungi Arsyad untuk kepastian rumah neneknya itu. Dan kesudahannya, kami berlima terlajak simpang. Hadi yang bertindak selaku co-pilot kepada Izaan nyata tidak berapa berjaya dalam tugasnya itu. Sampainya kami di rumah Arsyad kemudiannya, Hadi dijadikan bahan jenaka. "Co-pilot dok paka gawa! Mu jalang depang lagi, depang lagi..." Izaan menyindir Hadi sambil mengajuk arahan Hadi sewaktu di dalam kereta. "Ho, depang ah sapa telajok doh. Dia duk cari jugok signboard Jalan Rajawali...Dok paka gawa co-pilot..." Jenaka Izaan sambil diikuti gelak ketawa kami semua.

Seterusnya, kami bersama Arsyad, menjadikan kami berenam bergerak ke rumah Azizi Husin. Azizi sekarang sedang bekerja di salah sebuah kilang industri di Nilai, yang merupakan satu tawaran pekerjaan yang baik. Memandangkan malam sudahpun lewat, kami hanya duduk di meja di bahagian luar rumahnya sahaja sambil bersembang dan menikmati kuih yang dihidangkan. Banyak juga yang dapat kami kongsikan bersama malam itu. Antaranya adalah berita semasa mengenai kenalan-kenalan terdekat. Sewaktu jam hampir menunjukkan ke pukul 11 malam, kami mengambil keputusan untuk beredar. Sebelum berpisah sesama kami- untuk berapa lama yang tidak kami ketahui, kami sempat bertukar-tukar nombor telefon, bersalam-salaman dan mengharapkan akan bertemu kembali di masa akan datang. Pertemuan kenalan-kenalan lama pada hari itu diakhiri dengan saya menghantar Hadi, Apih dan Duang pulang, manakala Arsyad pula menumpang Izaan untuk pulang ke rumahnya. Sebelum berpisah, sempat Izaan berjanji untuk datang ke rumah saya pada esok harinya untuk beraya. Dan kedatangan Izaan pada keesokan harinya saya sambut dengan masakan dari mak, iaitu nasi dagang. 

Terima kasih dan semoga berjumpa lagi di masa akan datang!

Thursday, September 8, 2011

Mel


Mel berlari ke arah kakaknya sambil memanggil-manggil kakak sulungnya itu.

“Kak Long…! Kak Long..!”

Sha tersedar dari lamunannya. Sudah beberapa ketika dia termenung dan termangu di pohon kelapa mati di tepi pantai itu. Panggilan adiknya mengejutkan dia dari lamunan kusutnya. Dari kejauhan kelihatan adik perempuannya, Mel, sedang berlari-lari anak di atas pasir pantai yang memutih menuju ke arahnya. Mel, lima belas tahun, merupakan satu-satunya adik Sha. Mel berkulit cerah, kuning langsat sama seperti Sha, kecuali Mel mempunyai dua lesung pipit yang diwarisi dari ibunya. 

Mel merupakan seorang pelajar sekolah menengah di tingkatan tiga manakala Sha pula telah bekerja sebagai seorang akauntan muda di salah sebuah institusi kewangan di bandaraya Kuala Lumpur. Sepuluh tahun jarak usia antara mereka berdua. Dua usia yang meniti pengalaman hidup yang berbeza. Namun, Sha dan Mel cukup rapat antara satu sama lain, bagaikan kembar dan tidak keterlaluan jika dikatakan mereka kelihatan seperti pasangan kembar seiras, dek kerana persamaan yang dimiliki wajah kedua-dua adik-beradik itu. Mel sebagai seorang adik adalah seorang yang manja, bertentangan dengan Sha.  Selalu sahaja Mel akan mengadukan masalah kepada kakaknya itu, walaupun masalah itu kecil sahaja. Tapi Sha sebagai seorang kakak, dia tidak kisah akan perlakuan adiknya Mel itu. Lagipun Mel adalah satu-satu adiknya. Adik yang sangat dikasih dan disayang. Mel jugalah tempat dia selalu berkongsi kisah dan rasa. 

 “Kak Long, mak dengan abah nak keluar. Nak ke pekan sekejap. Kak Long nak ikut?” Mel bertanya sebaik sahaja sampai di sisi kakaknya itu. 

“Hmm Kak Long tak keluar kot. Duduk kat sini je kejap. Mel nak keluar sekali ke ikut mak?”

“Kalau Kak Long tak ikut, Mel pun tak nak ikutlah.” Tutur Mel manja seraya tersenyum. Kak Long turut tersenyum. Kedua-dua adik dan kakak itu diam beberapa ketika. Mereka duduk sebelah-menyebelah di atas pohon kelapa mati yang tumbang itu. Fikiran kedua-dua mereka terbang jauh, mengelamun. Pandangan mereka dilemparkan ke arah laut biru yang terbentang luas di hadapan. Kedua-dua mereka seolah-olah hanyut seketika dalam suasana damai petang itu. Angin yang bertiup perlahan begitu menyamankan tubuh mereka. Suasana begitu tenang dan masa seolah-olah berlalu dengan perlahan. Kedengaran deruan ombak yang menghempas pantai sambil kelihatan beberapa kanak-kanak kecil berlari-lari di gigi air. Pepohon kelapa melambai, meliuk-lintuk disapa angin sambil daun-daunnya berselisih dan berdesir, mengeluarkan satu irama yang mengasyikkan di petang hari.

“Mel, dua hari lagi Kak Long akan pulang ke KL. Jadi Kak Long ingat esok nak ke Kuala Terengganu sekejap. Nak cari barang sikit nak bawa balik dekat kawan-kawan kat KL tu. Mel temankan Kak Long nak? Mel pun start sekolah minggu depan kan?” Sha bersuara memecahkan kesunyian dan lamunan mereka berdua.

“Boleh juga. Lagipun dah lama Mel tak ke Kuala Terengganu. Alang-alang ke sana esok, Mel nak cari barang juga la. Nak belikan hadiah harijadi kawan Mel minggu  depan.” 

“Okay, nanti kita cari hadiah untuk kawan Mel tu esok. Kawan Mel tu lelaki ke perempuan?” Sha bertanya, mengusik Mel.

“Kak Long ni…Tentulah perempuan. Mel mana ada kawan rapat lelaki. Lainlah Kak Long, kan?” Mel membalas usikan kakaknya itu sambil tersengih.

“Ha sudah, jangan nak mengada. Eh Mel, jomlah kita naik ke rumah. Kak Long nampak tadi mak ada buatkan mi goreng kan? Jom naik makan?” Sha mengalihkan tajuk perbualan lalu mengajak adiknya pulang ke rumah.

“Ala Kak Long ni…Orang baru nak korek rahsia dia sikit, dia tukar topik pulak…” Mel berkata manja, ingin meraih simpati kakaknya. Tapi Sha tidak melayan kerenah nakal adiknya seorang itu. Hanya membiarkan Mel sebegitu. Walaupun Sha rapat dengan adiknya Mel itu, namun dia jarang bercerita mengenai kisah perhubungannya kepada Mel. Mungkin bukan masanya lagi. Mel masih bersekolah dan masih terlalu muda untuk Sha berkongsi kisah sebegitu. Itu yang difikirkan Sha.

Mereka berdua bangun lalu berjalan beriringan meninggalkan pantai dan menuju ke arah rumah mereka - rumah kayu yang berusia hampir tiga puluh tahun. Rumah kayu tersebut dibeli ayah Sha dan Mel sewaktu ibu mereka mengandungkan Sha. Ayah mereka pernah berkerja sebagai tukang rumah sementara sewaktu muda dan mempunyai minat terhadap seni bina rumah tradisional, lalu mengambil keputusan untuk membeli rumah tersebut dari seorang usahawan tempatan yang ingin berhijrah ke luar negeri dua puluh lima tahun lepas. Dan sekarang rumah itu dihuni oleh Sha dan Mel sekeluarga. Rumah itu masih lagi utuh berdiri dan kelihatan cantik, dengan seni bina tradisional tempatan. 

Sambil mereka berdua berjalan ke arah rumah, Mel sempat bertanyakan sesuatu kepada kakaknya. Sesuatu yang Sha tidak jangka soalannya. 

“Kak Long, tadi masa Mel dekat atas rumah, ada orang telefon handphone Kak Long. Dia nak cakap dengan Kak Long tapi Mel suruh dia call balik. Dia kenalkan diri dia sebagai Abang Jamal. Hmm, siapa Abang Jamal, Kak Long?”



p/s: Gambar menunjukkan sebahagian dari Terrapuri Heritage Village, Setiu, Terengganu.

Wednesday, September 7, 2011

Jiran Baru

Jiran saya nama dia Makcik Zie. Dia dan suami dia orang Pulau Pinang. Saya tak tahu la macam mana dia boleh pindah dan beli rumah kat Dungun ni. Atas urusan pekerjaan suami dia barangkali. Saya pun tak pasti. Apa yang pasti, dia ada seorang anak yang saya suka usha-usha. Sungguh tak senonoh sekali perangai! Haha. Tapi jangan salah sangka. Saya usha bukan sebab anak dia seksi, mahupun anak dia tu punya rupa yang cantik dan menawan. Bukan! Bukan! Bukan sebab tu. Tapi hanyalah semata-mata kerana ingin mengenali jiran tetangga. Kot-kot la terjumpa kat Sura Gate ke, boleh la jugak bertegur sapa. Tambahan pula, sebelah rumah saya tempat Makcik Zie sekeluarga tinggal sekarang ni sebenarnya dulu hanyalah tanah kosong sahaja. Sudah hampir 20 tahun saya tinggal di situ, hanya baru sekarang sebelah rumah saya tu berpenghuni. Jadi saya macam teruja la. Excited. I like! Hehehe...

Raya ketiga baru-baru ni, Makcik Zie bagi laksa Penang. Sedap! Sampai menghirup ke kuah laksa yang terakhir. Sampai tersedak-sedak. Mana taknya, laksa Penang buatan orang Penang sendiri. Tentulah rasanya asli. I like! Hehe. Ok tu je lah nak cerita, pasal jiran saya yang baru.

Sekarang saya nak letak gambar-gambar yang mungkin ada kaitan dan mungkin juga takde kaitan langsung. Layan...

Laman sebelah rumah jiran. Suka tengok laman tu. Hehe.

Saya tengah melepak sambil testing kamera. I like the flowers on the table!

Ni tempat dia time raya - dalam bilik saya!

Kedai Wan Riping

Pulang ke rumah bercuti raya baru-baru ini, sempat juga aku menjenguk ke kedai buku Dewan Bahasa dan Pustaka, atau lebih dikenali penduduk tempatan sebagai Kedai Wan Riping (Kedai Wan Ariffin). Wan Ariffin taukeh kedai itu umurnya sudah menjangkau 70-an aku rasa, tapi masih lagi gagah menguruskan kedai bukunya yang mempunyai dua buah lagi cawangan di negeriku. Sewaktu aku menjejakkan kaki ke kedainya baru-baru ini, dia menyambut aku sambil berjabat tangan denganku. Aku hanya berkata bahawa aku ingin melihat-lihat sahaja buku-buku di kedainya itu, kerana aku belum benar-benar pasti apa yang aku cari di situ. Wan Ariffin itu rumahnya dekat sahaja dengan rumahku, tapi aku tidaklah begitu kenal dengannya, dan tidak pula pernah aku lawat rumahnya itu. 

Okay, berbalik kepada kisah aku di kedai Wan Riping, aku pada mulanya menyangka bahawa karya-karya sastera tidak lagi dijual di situ. Namun aku ternyata silap setelah seksyen demi seksyen aku lewati. Di satu sudut penghujung kedai itu, aku dapati beberapa rak penuh diisi dengan karya-karya sastera seperti drama, puisi, cerpen dan juga novel. Sastera yang dihargai sebagai world literature juga dapat aku perhatikan ada tersusun rapi di bahagian tersebut. Antaranya Saga, Trem Bernama Desire dan juga satu novel karangan penulis Jepun Sawako Arisyoshi. Banyak sungguh karya-karya yang menarik perhatianku di situ. Hampir setengah jam juga aku membelek-belek buku-buku yang menarik minat. Hasilnya, aku telah membawa pulang enam buah buku yang terdiri dari satu novel, satu antologi puisi dan empat koleksi cerpen. Kesemuanya berharga kurang dari RM30 sahaja, namun nilai karya sastera sebegitu kukira cukup tinggi bagiku, seorang peminat sastera amatur yang baru hendak berjinak-jinak dalam dunia kesusasteraan Melayu moden. Dan kunjungan aku pada petang Ahad ke kedai Wan Riping itu adalah amat berbaloi sekali.